Tuesday 22 March 2011

LAB BUDAYA KERJA BERPRESTASI TINGGI - PC 2011

Lab Budaya Kerja Berprestasi Tinggi (BKBT) telah dilaksanakan pada 21 - 23 Mac 2011 bertempat di Intan Wilayah Timur (INTIM), Kemaman, Terengganu, bagi kumpulan pengurusan dan Profesional  yang bertugas dalam Kompleks Kota Darulnaim. Lab ini telah dihadiri seramai 32 orang peserta, 8 orang tidak hadir, seramai 4 orang pembentang dan 8 orang urusetia termasuk fasilitator.

Objektif utama Lab BKBT ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk memberi kefahaman mengenai empat (4) Teras Strategik Utama dalam pelaksanaan Budaya Kerja Berprestasi Tinggi Ke Arah Pengurusan Cemerlang 2011. Empat (4) Teras Strategik yang dimaksudkan iaitu Pengukuhan Nilai Dan Etika, Hubungan Majikan dan Pekerja  yang Harmoni, Persekitaran Kerja yang Kondusif dan Perkhidmatan Berfokuskan Pelanggan. 

Selain itu, lab ini juga bertujuan untuk melahirkan warga kerja yang mampu memberi keberhasilan kerja (Outcome) yang melebihi ekspektasi pelanggan/stakeholder dan mencapai Pengurusan Cemerlang dalam Tahun 2011. Objektif ini amatlah bersesuaian dengan moto Pelan Strategik Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan 2012 -2016 iaitu "OUTCOME" yang akan dilaksanakan di Pejabat SUK Kelantan.

Melalui lab ini, kita dapat mencungkil idea-idea di kalangan pegawai-pegawai bagi meningkatkan prestasi kerja masing-masing menerusi sesi Bengkel dan Sesi Pembentangan. Selain itu, Lab BKBT ini juga telah memberi peluang kepada pegawai-pegawai untuk bertukar pendapat dan pandangan dalam usaha membentuk jabatan/bahagian/unit masing-masing ke arah perkhidmatan yang lebih cekap dan efisyen.

Harapan dan impian menerusi lab ini agar semua pegawai dapat menggunakan sebaik mungkin ilmu-ilmu yang diperolehi disepanjang lab ini berlangsung. Ini kerana, dalam usaha memastikan Pengurusan Pejabat SUK Negeri Kelantan berada pada tahap kecemerlangan melalui penerapan Budaya Kerja Berprestasi Tinggi (BKBT) kita perlu mempunyai komitmen yang tinggi dan pemantauan yang berterusan dalam setiap perkara yang kita lakukan untuk meningkatkan prestasi dan mutu kerja bagi pencapaian Pengurusan Cemerlang dalam tahun 2011.

Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua pegawai kerana telah memberikan kerjasama yang sepenuhnya dalam memastikan lab ini berjalan dengan lancar. Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada Pihak Intan Wilayah Timur (INTIM) kerana telah memberikan komitmen yang penuh kepada pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dalam menjayakan program Bengkel Budaya Kerja Berprestas Tinggi- Pengurusan Cemerlang (BKBT-PC 2011) Siri 3/2011.

No comments:

Post a Comment